HomeHiburanTyzo ditamat kontrak, DJ Anne ‘spill the tea’

Tyzo ditamat kontrak, DJ Anne ‘spill the tea’

PENAMATAN khidmat Tyzo di Suria FM mendapat respons beberapa rakan artis, yang rata-ratanya meluahkan rasa simpati terhadap penyampai stesen radio berkenaan.

Tidak terkecuali, penyampai Selangor FM, Anie Mokhtar tampil berkongsi beberapa rantaian kenyataan di Instagram Story (IG Story) berhubung nasib menimpa rakan baiknya.

Menurut Anie atau DJ Anne, terdapat banyak perkara yang perlu ‘dikongsi’ kepada pendengar, termasuk perihal penghantaran nama pencalonan Tyzo untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023 (APBH 2023).

Dakwanya, terdapat ‘orang dalam’ yang tidak menyenangi kejayaan Tyzo sejak diumum pemenang Penyampai Radio Popular pada APBH 2022.

“Kita nak start dari mana yer? Oh, should we start bagi pendengar tahu cerita sebenar, yang even nama Tyzo pun kau tak hantar untuk ABPBH 2023 walaupun Tyzo adalah top 5 ABPBH 2022.

“Dari awal sebelum kemenangan dia kau dah cuba sekat peluang dia. Jahat dan tergamak. So macam mana nama Tyzo ada tahun ni? Jom spill the tea,” tulisnya.

Namun, setakat ini DJ Anne masih belum berkongsi lanjut mengenai pendedahannya.

Difahamkan, individu yang dimaksudkan juga sudah tidak mengikuti atau ‘follow’ Tyzo di laman Instagram.

DJ Anne turut mencabar individu berkenaan supaya menunjukkan dirinya sebenar dan berhenti berpura-pura.

Khidmat Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolgarnain Idris ditamatkan selepas lapan tahun bersama Suria FM pada Jumaat.

Sebelum ini, Tyzo mengakui bahawa dirinya tidak meredai keputusan itu, namun dia tidak mempunyai kuasa dan hanya perlu akur.

Untuk rekod, Tyzo pernah menyumbangkan khidmat di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM.

Sementara itu, Pengurus Besar stesen radio berkenaan, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, keputusan tersebut dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.

Author

Pilihan Editor