HomeBerita'12 peratus rakyat Malaysia anggap diri kaya'

’12 peratus rakyat Malaysia anggap diri kaya’

CYBERJAYA: 12 peratus rakyat di negara ini beranggapan diri mereka adalah golongan kaya.

Data itu dirujuk berdasarkan Tinjauan Persepsi Kekayaan yang dilaksanakan oleh Hong Leong Bank Berhad (HLB) baru-baru ini,

Lapor Kosmo, tinjauan berkenaan melibatkan lebih 1,000 responden tempatan berumur antara 18-77 tahun.

Hasil tinjauan sama mendapati, 79 peratus responden mengaku mereka tidak mempunyai pelan kewangan berdokumen.

Malah, sebahagian besarnya disebabkan andaian bahawa mereka tidak mempunyai dana mencukupi untuk memulakan satu pelan pengurusan kekayaan secara rasmi.

Daripada 327 responden yang menyatakan ada membuat pelaburan, 57 peratus berkata mereka melabur dalam saham, diikuti rapat oleh 56 peratus yang memperuntukkan dana untuk skim ASB/ASM dan 54 peratus yang terlibat dalam pelaburan emas.

Selain itu, 44 peratus responden memilih deposit tetap sebagai pendekatan pelaburan utama mereka.

Tinjauan sama turut menggariskan trend ketara pelaburan kendiri dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan 83 peratus daripada mereka memilih untuk menguruskan pelaburan mereka sendiri, tanpa mendapatkan input daripada penasihat kewangan profesional.

Dalam pada itu, hampir separuh responden (49 peratus) menyatakan bahawa mereka mendapatkan nasihat kewangan daripada media sosial.

Susulan itu, Pengarah Urusan Pengurusan Kekayaan Serantau HLB, Hor Kwok Wai menyatakan peratusan tinggi dalam pelabur kendiri menunjukkan orang ramai semakin gemar untuk terlibat secara langsung dalam perancangan kewangan dan strategi pelaburan mereka.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk institusi kewangan seperti HLB menyediakan sumber dan sokongan yang teguh untuk memperkasa dan mendidik pelabur dalam membuat pilihan pelaburan yang termaklum dan berkesan,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor