HomeBeritaAzam Baki sahkan disaman Tun Daim

Azam Baki sahkan disaman Tun Daim

CYBERJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Tan Sri Azam Baki mengesahkan beliau menerima saman difailkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Perkara itu dimaklumkan Azam ketika hadir sebagai tetamu pada sesi dialog ‘Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?’ yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, malam tadi, lapor Malaysiakini pada Jumaat.

Menurut Azam, surat tuntutan saman oleh Daim itu antara lain menyatakan mengenai tindakan SPRM yang didakwa tidak berlandaskan prosedur.

“Baru-baru ini saya kena saman oleh Tun Daim.

“Daim saman saya kerana padanya tindakan ketua pesuruhjaya itu adalah salah.

“Saya tak boleh dedahkan maklumat (mengenai tindakan saman itu) kerana kes itu sudah masuk mahkamah,” katanya.

Jumaat lalu, peguam Daim berkata, kenyataan dibuat pegawai tertinggi SPRM mengenai bekas menteri kewangan itu sebagai tidak wajar.

Menurut Rajesh Nagarajan, kenyataan berulang Azam mengenai Daim bukan sahaja subjudis tetapi juga prejudis, kerana hakim sudah memberi amaran mengenai kes itu.

Peguam itu berkata, kenyataan Azam termasuklah kemungkinan memanggil Daim untuk disoal siasat berhubung dakwaan aset yang tidak didedahkan, dianggap tidak wajar memandangkan pertuduhan sedia ada yang belum selesai di mahkamah

Katanya, kenyataan itu seolah-olah Daim bersalah dan melanggar prinsip subjudis malah petikan ‘sumber’ memburukkan lagi keadaan.

Author

Pilihan Editor