HomeBerita‘Lebih baik tukar menteri PKR tak ‘perform’ berbanding tukar Zahid dalam UMNO’

‘Lebih baik tukar menteri PKR tak ‘perform’ berbanding tukar Zahid dalam UMNO’

CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa UMNO perlu diterajui muka baharu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang tidak berpuas hati dengan saranan itu berkata, Hassan sepatutnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar menteri Kabinet daripada PKR, yang mana pretasinya didakwa tidak memuaskan seperti Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Ada juga pandangan Hassan Karim yang bagus. Tetapi bila dia minta Zahid diganti ia amat keterlaluan. Hassan patut ‘cermin diri sendiri’.

“Sepatutnya dia desak PMX tukar menteri PKR yang tidak ‘perform’. Apa kejayaan Rafizi untuk ekonomi rakyat. Setakat daftar Pangkalan Data Utama (PADU)?

“Jangan lupa Premier Sarawak juga memberi komen negatif terhadap Menteri Pendidikan dari PKR. Patut Hassan desak PMX buat penilaian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, Puad menegaskan, pemilihan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO adalah hak akar umbi parti itu.

Beliau berkata, UMNO tidak masuk campur urusan PKR apabila Rafizi memenangi jawatan Timbalan PKR menerusi cara yang didakwa tidak telus.

“Hassan jangan hipokrit soal terpalit, UMNO turut terpalit dengan formula kosong Rafizi. Ringgit tetap jatuh. Harga barang tidak turun. Jangan buta sebelah,” katanya.

Terdahulu, Hassan dilapor mencadangkan bahawa UMNO perlu diterajui muka baharu, dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar yang diakuinya ‘rapuh’ dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma penting untuk mendapatkan undi Melayu.

“Dalam keadaan sekarang sukar selagi UMNO dipimpin Presidennya Zahid Hamidi. Selagi Zahid memimpin UMNO, orang Melayu sukar kembali menyokong UMNO, BN atau PH-BN.

“UMNO perlu rombakan pemimpin baharu segar, berintegriti dan karisma untuk membawa balik sokongan Melayu kepada UMNO BN dan kini PH-BN. Jika tidak, UMNO bawah Zahid akan menumpang di dahan PH pimpinan Anwar yang tidak kuat mana pun,” katanya.

Author

Pilihan Editor