HomeBeritaPM yakin harga beras dapat dikurangkan

PM yakin harga beras dapat dikurangkan

 

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin harga beras dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti oleh Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Anwar berkata, mesyuarat NACCOL sepatutnya sudah berlangsung namun terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan atas sebab yang mendesak.

Menurutnya, mesyuarat itu nanti akan mengemukakan beberapa cadangan sebelum memutuskan harga kawalan beras secara muktamad, lapor Harian Metro.

“Dalam hal ini, harga beras tak boleh rendah sangat tetapi saya yakin boleh dikurangkan dengan cara kita teliti perolehan beras, pemberian kontrak serta keuntungan yang diperoleh,” katanya ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perda, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Anwar berkata, kerajaan akan mengambil pelbagai pendekatan untuk mengurangkan beban rakyat dengan menggunakan kuasa bagi menangani isu kartel beras.

“Kita faham kalau rugi, tidak ada siapa nak berniaga tetapi janganlah ambil untung tinggi sangat, sebab jika untung terlalu tinggi, harga jualan di pasaran akan meningkat sekali gus rakyat terbeban.

“Selain itu, kita juga ada pegawai yang tekun dan bersungguh-sungguh jalankan tugas sebab itu dalam beberapa hal seperti mana kita apungkan harga ayam (berlaku).

“Masa dulu ada kata kartel tunggu tapi siapa pun tak berani sentuh. Jadi, baru-baru ini kita panggil dia (pengilang atau pembekal) tanya berapa untung kalau lebih sangat, kuasa kerajaan akan digunakan untuk pertahankan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Program Jualan Termurah Madani sebagai salah satu daripada program di bawah kendalian kerajaan susulan penerimaan baik oleh rakyat.

“Saya sudah beritahu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk bincang kalau boleh jadikan ini (Jualan Termurah Madani) sebagai program kerajaan selepas diteliti oleh semua jabatan dan agensi kerajaan terutamanya di bawah Kementerian Pertanian serta KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.

Syed Abu Hussin Hafiz dilaporkan berkata, penetapan harga siling baharu ditetapkan pada 19 Februari ini dan berada di pasaran pada 1 Mac.

Author

Pilihan Editor