CYBERJAYA: Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diumumkan berlangsung pada 2 Mac depan.
Difahamkan, perhimpunan itu diadakan bagi meminda Perlembagaan parti tersebut, susulan enam Ahli Parlimennya mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris memaklumkan perkara itu menerusi notis makluman berhubung pelaksanaan perhimpunan itu di laman Facebook.
“InsyaAllah, maka tamatlah riwayat enam jahanam, mudahan Bersatu kembali bangkit dan terus mara,” tulisnya pada Khamis.
Notis makluman bertarikh 13 Februari itu dikeluarkan dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah dalam notis berkenaan memaklumkan, Perhimpunan Agung Khas Bersatu itu diadakan bersesuaian dengan Fasal 12.5.1 Perlembagaan parti tersebut.
Perhimpunan itu akan diadakan selama dua jam mulai jam 3 petang, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor.
“Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan semua perwakilan dapat hadir demi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti,” katanya dalam notis tersebut.
Pada 29 Januari lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam mesyuarat khas bersetuju meminda Perlembagaan parti itu, bagi memastikan tindakan khianat tidak berulang pada masa hadapan.
Parti tersebut juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang didapati melakukan khianat terhadap Bersatu.
Mana-mana wakil rakyat yang didapati khianat akan berdepan dengan pengosongan kerusi.
Sebelum ini, serama enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan masing-masing terhadap pentadbiran Anwar.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menjadi wakil rakyat pertama diikuti Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Terbaharu, seorang lagi Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi turut mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri.