HomeBeritaTuah bekas tukang cuci bergelar jutawan sekelip mata

Tuah bekas tukang cuci bergelar jutawan sekelip mata

IPOH: Seorang bekas tukang cuci tidak sangka bakal bergelar jutawan setelah dia diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-96.

Mohd Nazri Abd Wazir, 61, dari Parit berkata, dia tidak menyangka akan memenangi RM1 juta hasil usahanya menyimpan secara konsisten dalam BSN SSP sejak 2003.

Menurutnya, simpanan tersebut adalah untuk kegunaan sewaktu terdesak. Namun ternyata rezeki tidak salah alamat apabila sekelip mata dia dipilih sebagai pemenang. 

Khabar gembira itu diterimanya pada 5 Februari lalu membuatkan dia terkejut dan hampir pengsan setelah mengetahui dirinya telah memenangi sejumlah wang sebanyak RM1 juta.

“Saya cuma percaya selepas pergi ke BSN Cawangan Parit untuk membuat pengesahan,” katanya selepas menerima replika cek yang diserahkan oleh Pengarah BSN Perak, Mazlan Mat Jalil.

Nazri turut menyatakan yang dia akan manfaatkan duit tersebut untuk membawa ibunya yang berusia 84 tahun mengerjakan haji dan menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan seharian. 

Sementara itu, bagi pemenang cabutan ulang tahun BSN ke-50, Mohd Nasir Abdullah, 57, dari Kampung Gajah berkata, dia tidak menyangka sama sekali apabila terpilih menerima hadiah cabutan bertuah bernilai RM50,000.

“Saya mula menyimpan dalam BSN sejak bujang lagi namun sertai cabutan ini pada Jun tahun lalu. Wang yang saya menangi ini akan dimanfaatkan untuk tiga anak yang masih belajar,”  ujarnya menurut laporan Bernama.

Author

Pilihan Editor