AMERIKA SYARIKAT: Sekurang-kurangnya enam orang dipercayai maut dalam nahas runtuhan Jambatan Francis Scott Key di Baltimore.
Jambatan yang mempunyai panjang lebih 1.6 batu itu runtuh apabila sebuah kapal kontena melanggar salah satu penyokongnya.
Kapal itu dilaporkan menghadapi masalah sistem janaan kuasa dan telah menghantar isyarat kecemasan sebelum nahas.
Susulan itu, pasukan penyelamat termasuk bot dan helikopter, digegaskan untuk mencari semua mangsa yang hilang.
Hasil pencarian mendapati dua mangsa berjaya diselamatkan dari dasar laut manakala seorang cedera parah.
Laksamana Muda Shannon Gilreath dari Pengawal Pantai AS berkata, kemungkinan mangsa yang masih hilang telah mati kerana suhu air di dasar laut terlalu sejuk untuk mereka bertahan dalam tempoh yang lama.
Menurut laporan BBC, sebahagian besar mangsa yang hilang adalah pekerja yang sedang membaiki jalan berlubang di jambatan ketika runtuhan berlaku.
Kapal bernama Dali dan mengibarkan bendera Singapura itu melanggar tiang sokongan jambatan berusia 47 tahun itu sekitar jam 1:30 pagi waktu tempatan.
Sebelum kejadian, sebuah agensi kerajaan AS melaporkan bahawa kapal itu kehilangan kuasa semasa meninggalkan pelabuhan dan memberi amaran kepada pegawai pengangkutan Maryland tentang kemungkinan akan berlaku perlanggaran.
Gabenor Maryland Wes Moore turut mengesahkan perkara tersebut namun pelanggaran berlaku terlalu cepat sebelum tindakan awal diambil.