HomeGlobalHouthi Yaman ikrar buat serangan 'lebih berkesan' ke atas kapal AS, UK...

Houthi Yaman ikrar buat serangan ‘lebih berkesan’ ke atas kapal AS, UK dan Israel

KUMPULAN Houthi Yaman berikrar untuk melakukan serangan yang ‘lebih berkesan’ ke atas kapal yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat (AS), UK dan Israel.

“Kami mempunyai rancangan penting untuk masa depan dengan melakukan serangan yang akan memberi kesan lebih besar kepada kapal musuh,” kata ketua kumpulan itu, Abdul-Malik al-Houthi, dalam rakaman ucapannya pada lewat Khamis.

Tanpa mendedahkan sebarang rancangan khusus, beliau menambah bahawa pihaknya akan terus mengembangkan operasi ketenteraan dengan lebih banyak, dengan banyak pilihan tanpa teragak-agak atau bimbang terhadap ancaman (musuh).

Beliau menunjukkan keupayaan kumpulan itu untuk mengatasi teknologi AS dan Israel dalam pengawasan, menyekat dan pemintasan isyarat sebagai kemenangan dan pembangunan penting untuk pasukan tentera Houthi.

Kumpulan Houthi Yaman telah menyasarkan kapal kargo di Laut Merah yang dimiliki atau dikendalikan oleh syarikat Israel atau mengangkut barang ke dan dari Israel sebagai solidariti dengan Genting Gaza, yang berada di bawah serangan Israel sejak 7 Oktober.

Laut Merah adalah salah satu laluan laut yang paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran minyak dan bahan api.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin baru-baru ini mengumumkan penubuhan misi multinasional, Operation Prosperity Guardian, untuk menentang serangan Houthi.

Author

Pilihan Editor