HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis buru ‘rider’ ragut rantai leher di Port Dickson

Polis buru ‘rider’ ragut rantai leher di Port Dickson

PORT DICKSON: Seorang penunggang motosikal yang bertindak meragut rantai leher seorang lelaki dalam kejadian di Pekan Lukut, di sini pada Sabtu sedang dalam buruan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson,Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, video tular berdurasi 46 saat pada jam 5.52 petang di laman Facebook memaparkan,  suspek yang juga seorang lelaki terjatuh selepas melakukan jenayah tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku di tepi jalan berhadapan sebuah kedai makan dan melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 32 tahun.

“Kejadian tersebut berjaya dirakam oleh seorang pemilik kereta menerusi papan pemuka (dashcam) kereta dan cuba mengejar suspek tetapi gagal,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam video sama,suspek dilihat mundar-mandir di sekitar lokasi dengan menunggang motosikal sebelum meragut rantai leher mangsa.

Suspek kemudiannya memecut motosikalnya sebelum berpatah semula lalu terjatuh dan melarikan diri.

Aidi Sham berkata, suspek telah melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan, manakala usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat,  Inspektor Nurul Nabilah Kamal di talian 013-7488968 atau hubungi Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menviralkan isu ini yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” kata Aidi Sham.

Author

Pilihan Editor