HomeBeritaSemua kaum perlu digalak sertai perkhidmatan awam, bukan Cina sahaja - Akmal...

Semua kaum perlu digalak sertai perkhidmatan awam, bukan Cina sahaja – Akmal Saleh

CYBERJAYA: Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan kerajaan supaya tidak hanya menumpukan kaum Cina bagi menyertai perkhidmatan awam.

Sebaliknya, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, semua kaum sepatutnya digalakkan menyertai perkhidmatan sama terutamanya dalam bidang ketenteraan, yang dilihat kurang penyertaannya dalam kalangan bukan Bumiputera.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menghalang mana-mana syarikat swasta yang menetapkan syarat untuk mengambil pekerja berdasarkan kaum.

“Malah, kerajaan juga diminta untuk menghalang syarikat yang menetapkan syarat untuk tahu berbahasa selain daripada bahasa Melayu.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan satu aliran juga mesti dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Tangkap layar hantaran Dr Muhamad Akmal di laman Facebook.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa, satu kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam akan diadakan di seluruh negara bermula di Melaka, Ahad lalu.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, kempen itu diadakan berikutan jumlah kaum Cina yang berminat untuk menjadi penjawat awam rendah.

Katanya, semasa kempen itu berlangsung, penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam.

Kempen tersebut akan diadakan di seluruh negara termasuk di Kuantan pada 16 Mac diikuti Petaling Jaya; Segamat; Muar; Johor Bahru; Pontian; Kluang; Ipoh; Taiping; Teluk Intan; Butterworth dan Kangar.

Berdasarkan pengambilan terkini penjawat awam oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), seramai 17,386 warga Cina memohon jawatan dan 4,285 telah disenarai pendek untuk temu duga.

 

 

 

Author

Pilihan Editor