HomeBeritaPolitikADUN Selat Klang isytihar sokong MB Selangor

ADUN Selat Klang isytihar sokong MB Selangor

 

CYBERJAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pada Rabu menzahirkan sokongannya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ahli Bersatu itu berkata, sokongannya terhadap Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu dibuat secara sukarela.

“Keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan selepas saya meneliti titah ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran negeri Selangor yang berada di landasan yang tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini juga adalah hasil siri tindakan Perikatan Nasional (PN), khususnya PN Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontarkan terhadap raja-raja Melayu.

“Ini bercanggah dengan prinsip Melayu-Islam,” kata bekas ketua Bersatu Selangor itu.

Namun begitu, beliau tetap komited dengan Bersatu tetapi percaya sokongannya terhadap kerajaan negeri akan memberi manfaat kepada penduduk Selat Klang.

Rashid pertama kali dipilih sebagai ADUN Selat Klang pada 2018, ketika Bersatu menjadi parti gabungan PH.

Beliau mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri tahun lepas, dengan majoriti kukuh 42,703 undi mengatasi calon UMNO, Roslee Abd Hamid.

Author

Pilihan Editor