HomeTeknologiMETA tapis imej lucah dalam DM diterima pengguna Instagram bawah umur

META tapis imej lucah dalam DM diterima pengguna Instagram bawah umur

META hari ini, mengumumkan ciri menapis imej lucah yang mungkin diterima pengguna bawah umur menerusi ciri mesej peribadi ini.

Hal ini bagi menapis masalah kebolehan kongsi imej yang mudah dan tidak mengikut kesesuaian peringkat umur penerima di media sosial.

Di Instagram isu ini semakin serius dengan golongan bawah umur diancam bahan seksual oleh golongan pedofil yang menghantar imej lucah menerusi DM.

Oleh itu, sistem Instagram akan mengenal pasti imej yang dihantar menggunakan DM.

Jika ia didapati konsisten dengan imej lucah, secara lalai ia akan dikaburkan dengan label mengatakan ia mungkin mengandungi kandungan yang tidak ingin dilihat pengguna.

Secara lalai ia diaktifkan pada akaun pengguna Instagram bawah 18 tahun.

Penerima kemudian boleh melaporkan mereka menerima imej lucah kepada Instagram untuk diambil tindakan.

Selain penerima, penghantar juga diberikan notifikasi jika Instagram mengesan mereka menghantar imej lucah. Mereka kemudian boleh memadam imej yang telah dihantar.

Satu lagi ciri ialah mesej akan dipaparkan pada skrin jika ada percubaan untuk menyebarkan imej lucah kepada pengguna lain.

Menurut laporan Amanz, selain melindungi pengguna bawah umur, ciri ini juga boleh diaktifkan oleh pengguna dewasa yang tidak ingin menerima mesej lucah.

Imej sebegini mungkin dihantar sebagai cara untuk melakukan gangguan seksual. Ia turut dibangunkan untuk mengelakkan penerima menjadi mangsa peras ugut jika mesej ini dibalas dengan imej lucah peribadi.

Di Malaysia beberapa kes peras ugut menggunakan cara ini telahpun dilaporkan berlaku.

Menjadi ibu bapa dan penjaga dalam dunia internet 2.0 adalah sangat mencabar. Ini sebab mengapa pemantauan peranti milik kanak-kanak di bawah jagaan adalah penting.

Jika tidak mampu, cuba jangan berikan mereka akses kepada media sosial yang kini sangat berbahaya.

Author

Pilihan Editor