HomeBeritaPengasas KK Mart mengadap Agong, mohon maaf isu stoking kalimah Allah

Pengasas KK Mart mengadap Agong, mohon maaf isu stoking kalimah Allah

CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Chai Kee Kan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pertemuan yang diadakan selama 15 minit itu, Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Pada pertemuan sama, baginda bertitah semua pihak termasuk KK Mart perlu lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual, khususnya barangan import bagi mengelak perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah baginda.

Hasil pertemuan itu turut dikongsikan di laman Facebook Sultan Ibrahim.

 

Author

Pilihan Editor