HomeSukanTMJ derma rumput hibrid buat SNBJ

TMJ derma rumput hibrid buat SNBJ

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim akan mendermakan rumput jenis hibrid untuk ditanam di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di ibu negara.

Inisiatif tersebut dititahkan Tunku Mahkota Ismail selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, pada Selasa.

Menurut hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers, inisiatif itu dilakukan hasil kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ.

Tambahnya, rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya yang sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

“Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Tunku Mahkota Ismail akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, rumput jenis Zeon Zoysia yang telah didermakan Tunku Mahkota Ismail kepada SNBJ sebelum ini akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN).

“Padang tersebut sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan pasukan-pasukan bola sepak negara,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail telah menaja padang bola sepak di Stadium Nasional sebagai hadiah kepada bola sepak Malaysia selepas saban tahun pengendali stadium menghadapi masalah berkaitan kualiti rumput.

Rumput Zeon Zoysia turut digunakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di Johor Bahru, Johor yang diiktiraf sebagai padang terbaik di negara ini sejak stadium ikonik tersebut dibuka pada 2020.

Penanaman  Zeon Zoysia itu menggantikan rumput jenis cowgrass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

 

Author

Pilihan Editor