HomeBeritaTinggal lebih masa antara kesalahan 30 PATI ditahan JIM Pahang

Tinggal lebih masa antara kesalahan 30 PATI ditahan JIM Pahang

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara, dalam satu operasi yang dijalankan di beberapa rumah sekitar Kuantan pada Jumaat hingga awal pagi Sabtu.

JIM Pahang menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan, kesemua PATI yang ditahan dalam serbuan yang bermula pada jam 10.05 pagi Jumaat hingga 4 pagi Sabtu, berusia antara 22 hingga 51 tahun dan membabitkan 10 warganegara Indonesia, tujuh (Thailand), dua (Myanmar), 10 (Bangladesh) dan seorang (Kemboja).

“Operasi yang melibatkan 18 pegawai ini menyerbu dan memeriksa 55 PATI hasil daripada maklumat orang awam, dengan 30 daripadanya telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal di negara ini lebih masa dibenarkan.

“Kesemua tahanan itu direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imgiresen 1959/63 di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut, manakala pemilik rumah terlibat akan dikesan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

JIM Pahang juga menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat mengenai keberadaan PATI di negeri ini bagi membantu pihak berkuasa membanteras kebanjirannya.

 

Author

Pilihan Editor