HomeMV+EksklusifKenali akidah diri, tiada masalah ke Bon Odori

Kenali akidah diri, tiada masalah ke Bon Odori

KUALA LUMPUR: Beberapa hari sahaja lagi bakal berlangsung Festival Tarian ‘Bon Odori’ ke-46, di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

Meskipun festival berkenaan menjadi kontroversi susulan nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad supaya umat Islam tidak menyertainya, yang didakwa terdapat unsur keagamaan lain, masih ada rakyat memandangnya sebagai platform hubungan baik dua negara antara Malaysia dan Jepun.

Anak Malaysia yang pernah menetap 13 tahun di Jepun, Ahmad Sabri berpendapat, dia tetap akan hadir ke festival terbabit kerana berniat hanya untuk mengenali rakyat Jepun yang tinggal di Malaysia dan cara mereka mengadaptasi diri di negara ini.

Katanya yang juga memahami bahasa Jepun, menjelaskan maksud bon itu adalah perayaan dan odori itu tarian dalam bahasa negara matahari terbit itu.

“Kalau ikut sejarah fakta, tarian Bon Odori untuk roh orang mati. Kalau nak pergi buat tarian roh itu semua, contoh nak menari nak panggil roh orang Jepun mati, tak payahlah.

“Tapi, kalau saya nak pergi, mungkin saya nak belajar budaya orang Jepun, cara adaptasi di Malaysia macam mana, mereka suka apa di Malaysia, atau nak belajar bahasa Jepun ke, bolehlah kita pergi kan. Balik pada niat kita, tujuan kita.

“Kenali tahap diri kita macam mana, akidah kita, tiada masalah pun untuk ke Bon Odori. Jadi seperti ikan dalam laut masin, ikan tak masin walau laut masin,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Ahmad Sabri yang baru saja pulang ke tanah air, berkata, sejujurnya menganggap isu yang timbul sebenarnya hanya perkara remeh kerana festival berkenaan sebenarnya sudah bertapak di tanah Melayu sejak 50 tahun lalu.

“Malaysia dan Jepun sebenarnya rapat. Setakat benda remeh orang tak kisah. Tak jejaskan hubungan negara. Malaysia pun, sebenarnya pilihan nombor satu orang Jepun pencen dan nak duduk di Malaysia untuk habiskan sisa hidup mereka.

“Jika awak tanya saya tentang bon odori ini, ia program minoriti Jepun di Malaysia. Macam saya di Jepun dahulu, ada Malaysian Day, masa itulah orang Malaysia seluruh pelosok Jepun akan datang, boleh bercakap bahasa Melayu,” katanya.

Kompleks Sukan Negara Panasonic di Shah Alam, Selangor dijangka jadi tumpuan utama dalam dan luar negara pada 16 Julai 2022, dengan penganjuran tahunan festival berkenaan.

Ia menjadi lokasi pilihan kerana puluhan ribu ekspatriat Jepun bermastautin di sini, malah dalam festival tahun ke-45, sebanyak 30,000 warga Jepun hadir ke festival berkenaan.

Festival berkenaan anjuran Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL), The Japanese School of Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun.

Rakan kongsi yang turut menyokong penganjuran terbabit itu juga antaranya Kerajaan Negeri Selangor, Tourism Selangor Sdn Bhd, Invest Selangor Bhd, Perbadanan Stadium Malaysia, Alumni Look East Policy Society (ALEPS), dan Japan Graduates’ Association of Malaysia (JAGAM).

Menurut kenyataan JCKL di laman sesawang rasminya, festival berkenaan mula dianjurkan di negara ini sejak tahun 1977, dan menjadi acara kebudayaan tahunan dalam usaha mengeratkan semangat muhibah antara rakyat Malaysia dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Author

Pilihan Editor