HomeHiburanAir Force The Movie kutip RM6 juta

Air Force The Movie kutip RM6 juta

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya mencatat kutipan sebanyak RM6 juta dalam tempoh tiga hari tayangan di Malaysia.

Perkembangan terkini tersebut diumumkan melalui akaun Instagram (IG) rasmi filem aksi ketenteraan Malaysia itu.

“Filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa berjaya mengutip RM6 juta dalam tiga hari tayangan. Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong filem ini,” tulis hantaran itu.

Air Force The Movie : Selagi Bernyawa adalah terbitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Filem ini berkisar tentang Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh.

Di Malaysia, pasukan TUDM mengadakan misi untuk menyelamatkan mereka.

Air Force The Movie : Selagi Bernyawa menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu turut ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei sejak Khamis lalu.

Author

Pilihan Editor