GEORGE TOWN: Keperluan teknologi nuklear sebenarnya amat berguna dalam kehidupan seharian, namun pemahaman orang ramai mengenainya masih rendah, malah ada yang hanya mengaitkan ia dengan bahan letupan sahaja, kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Abdul Rahim Harun.
Beliau berkata pihaknya sentiasa menjalankan program-program kesedaran berhubung teknologi nuklear kepada masyarakat supaya orang ramai tahu bahawa teknologi ini amat berguna dan penting dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang kesihatan, pertanian serta pembuatan.
“Sebagai contoh antara teknologi nuklear yang berjaya dibangunkan oleh kami dalam bidang pertanian ialah mengeluarkan varieti padi mutan IS21 yang kini digunakan lebih 30,000 petani sejak dilancarkan November tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sinaran Tidak Mengion, di sini hari ini.
Persidangan dua hari sehingga esok itu merupakan satu platform untuk mendapatkan maklumat terkini secara terus daripada pakar-pakar dan penggubal-penggubal dasar serta standard dan sebanyak 19 kertas kerja dibentangkan.
Sementara itu Abdul Rahim berkata pihaknya berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam membangunkan satu silibus dari peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi yang memfokuskan aspek penggunaan teknologi nuklear bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenainya serta peranannya dalam kehidupan seharian.
“Setakat ini ia memang diajar di sekolah, misalnya berkenaan radiasi penggunaan nuklear dalam pelbagai bidang industri pembuatan, perubatan dan pertanian, malah kami di Agensi Nuklear turut dijadikan rujukan dalam menambah pengetahuan berhubung teknologi itu dalam silibus pengajaran dan pembelajaran peringkat tinggi.
“Cuma pada peringkat sekolah belum ada subjek spesifik mengenai nuklear dan ia merupakan tambahan kepada pengisian mata pelajaran Fizik serta silibus pengisian nuklear termasuk pendedahan secara asas untuk murid sekolah rendah,” katanya. – BERNAMA