MOSCOW: Suruhanjaya Persaingan India mendenda Google sejumlah AS$113 juta kerana menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam pasaran aplikasi Play Store, lapor Sputnik.
Minggu lepas, India juga mengenakan denda ke atas Google membabitkan sejumlah AS$162.2 juta kerana menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam beberapa pasaran dalam ekosistem peranti mudah alih Android.
“Suruhanjaya Persaingan India (Suruhanjaya) hari ini mengenakan penalti sebanyak Rs936.44 crore (AS$113.6 juta) ke atas Google kerana menyalahgunakan kedudukan dominannya membabitkan dasar Play Store, selain mengeluarkan perintah henti dan tamat. Suruhanjaya itu juga mengarahkan Google mengubah suai peraturannya dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata agensi itu dalam kenyataan pada Selasa.
Play Store adalah pasaran aplikasi terbesar dalam ekosistem Android, dan kawalan Google ke atas Play Store membolehkannya menentukan syarat kepada pembangun aplikasi dan memaksa mereka menggunakan sistem pembayarannya sendiri, kata pengawal selia India.
Ia mendapati Google mensyaratkan pembangun aplikasi secara eksklusif dan mandatori menggunakan Sistem Pengebilan Google Play bukan sahaja untuk menerima bayaran bagi aplikasi yang diedarkan melalui Google Play Store malah ke atas pembelian tertentu yang dibuat oleh pengguna selepas memasang aplikasi berkenaan, sekali gus menafikan hak pembangun. untuk memilih sistem pembayaran mereka sendiri.
Di samping itu, pembangun aplikasi tidak dapat menyediakan pengguna dalam aplikasi itu ke pautan terus laman web yang mengandungi kaedah pembayaran alternatif atau menggalakkan pengguna membeli barangan digital di luar aplikasi, kata kenyataan itu.
Agensi itu menambah bahawa jika pembangun aplikasi tidak mematuhi dasar GPBS Google, mereka tidak dibenarkan menjual aplikasi mereka di Play Store dan dengan itu kehilangan sejumlah besar bakal pelanggan.
Suruhanjaya Persaingan India juga mengarahkan Google membenarkan pembangun aplikasi menggunakan mana-mana khidmat pengebilan pihak ketiga dan mewujudkan dasar yang jelas dan telus berkenaan data yang dikumpul pada platform syarikat. – BERNAMA