HomeBeritaPolitikBN konsisten tolak kerjasama dengan PH

BN konsisten tolak kerjasama dengan PH

KUALA LUMPUR :Barisan Nasional (BN) masih konsisten dengan pendirian untuk tidak mewujudkan jalinan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi tujuan membentuk kerajaan Persekutuan.

Ini kerana kata Bendahari Agungnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, BN sudah menetapkan sebarang kerjasama dengan parti lain hanya berdasarkan nilai dan matlamat sehaluan dengan parti itu.

Katanya, rakyat sudah membuat pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan keputusan itu harus dihormati malah berlapang dada menerima kenyataan bahawa tiada satu parti yang boleh membentuk kerajaan selagi tidak mencapai dua pertiga kerusi Parlimen.

“Jelas, tiada satu parti pun berupaya membentuk kerajaan. Parlimen kini tergantung. Yang paling penting, negara dan rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dalam melangkah ke hadapan.

“Ini sebabnya kita mesti bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan. Namun, saya konsisten sejak sebelum ini lagi, dan saya tetap teguh pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

UMNO dijangka mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan kedudukan parti itu, selepas tiada satu parti memperoleh majoriti cukup untuk membentuk kerajaan.

BN termasuk UMNO yang bertanding di 178 kerusi Parlimen pada PRU15 sekali lagi mengalami kekalahan dan ia adalah yang terburuknya sejak menyertai PRU, selepas gagal mempertahan banyak kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Author

Pilihan Editor