HomeBeritaViralDihalang anjur #KelasDemokrasi dalam universiti, Fahmi Reza curah ilmu di kedai tomyam

Dihalang anjur #KelasDemokrasi dalam universiti, Fahmi Reza curah ilmu di kedai tomyam

 

CYBERJAYA: Meskipun dihalang daripada menganjurkan kelas demokrasi dalam kampus universiti, semangat juang untuk mendidik anak muda tetap diteruskan aktivis, Fahmi Reza.

Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin yang juga merupakan seorang pereka grafik aktif memberi pendedahan kepada rakyat mengenai sistem demokrasi di Malaysia menerusi siarang langsung di akaun TikTok rasminya.

Perkara itu secara tidak langsung membuatkan rata-rata anak muda khususnya yang layak mengundi peka dan fahami corak politik di tanah air ini sekali gus membuatkan mereka lebih bersedia untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Menjelang hari pengundian yang akan berlangsung pada Sabtu ini, Fahmi dilihat semakin rancak menganjurkan kelas demokrasi secara terbuka bersama mahasiswa di beberapa universiti.

Namun, bukanlah mudah untuk dirinya memasuki kawasan kampus kerana rata-rata pihak universiti dilihat tidak membenarkannya membuat kelas atas alasan tiada permohonan rasmi.

Halangan yang melanda itu tidak mematahkan semangat Fahmi serta sekumpulan mahasiswa yang impikan perubahan buat negara, lantas mengambil solusi untuk kekal menganjurkan kelas demokrasi di luar kampus.

Meskipun dihalang menganjurkan #KelasDemokrasi dalam kawasan kampus, rata-rata mahasiswa masih teguh turun padang menghadiri kelas Fahmi di kedai tomyam

Jika tiga hari lalu Fahmi dilihat membuat kelas demokrasi di sebuah kedai mamak di Pulau Pinang, baru-baru ini pemuda yang seringkali mencetuskan kontroversi itu terpaksa mengadakan kelas di sebuah kedai tomyam susulan kehadirannya di sebuah kampus yang terletak di Terengganu juga tidak diterima.

“Kamu boleh sekat #KelasDemokrasi masuk kampus, tapi kamu tak boleh sekat mahasiswa masuk #KelasDemokrasi.

“Walaupun disekat dan berpindah tempat, mahasiswa tetap hadir,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Antara alat bantu mengajar yang digunakan Fahmi dalam #KelasDemokrasi

Usaha Fahmi yang cuba menyampaikan ilmu mengenai sistem demokrasi di Malaysia nyata mendapat perhatian umum yang sebilangannya beranggapan, anak muda tidak sewajarnya belajar daripada individu seperti Fahmi kerana tidak mempunyai sebarang kelulusan dalam bidang demokrasi.

Namun, masih ada yang berpandangan bahawa inisiatif Fahmi untuk ‘sekolahkan’ anak-anak muda yang rata-ratanya ‘kosong’ tentang politik adalah tindakan yang bernas.

“Tabik dengan usaha Fahmi Reza buat #KelasDemokrasi untuk memberi pendedahan awal yang sangat jelas dan mudah faham kepada anak-anak muda. He is a non-partisan. Semua parti dia bantai kalau ada silap.

“Dia bukan berkempen untuk mana-mana parti politik,tetapi mengambil inisiatif untuk mengajar tentang hak-hak yang kita perlu tahu before anak-anak muda ni mula mengundi Sabtu ni.

“Kita sibuk nak muka baru, pemimpin yang lebih muda but this is the basic thing yang anak muda perlu tahu. Janganlah disekat kelas percuma macam ni.

“Undi18 dah pun bermula, kelas begini sangat diperlukan untuk create awareness tentang hak dan suara kita semua. Sepatutnya, semua universiti boleh memberi ruang untuk kelas-kelas sebegini, bukan bila khemah Barisan Nasional (BN) je datang, terus menadah tangan terbuka.

“Bila Fahmi Reza, terus hantar polis bantuan datang sekat, tutup lampu bagai. Nasiblah kita ada saluran media sosial sepertit Tiktok to reach them out,” tulis seorang netizen di media sosialnya berhubung inisiatif Fahmi.

Dihalang membuat #KelasDemokrasi dalam kampus, Fahmi teruskan kelasnya bersama mahasiswa di tepi jalan

Author

Pilihan Editor