KUALA LUMPUR: Realiti sebenar penghidap Dissociative Identity Disorder (DID) bukan sahaja berdepan isu pertukaran banyak personaliti atau frekuensi dalam diri, tetapi melibatkan pelbagai aspek yang tidak terjangkau akal manusia atau ‘supernatural’.
Menerusi siri Bongkar MEDIA VARIASI membuka kisah seorang gadis penghidap DID bernama Belle, 23, namun kali ini dia mendedahkan beberapa keanehan yang berlaku ke atas dirinya, tiada jawapan saintifik sehingga ke hari ini.
Belle didiagnosis memiliki 30 personaliti atau masalah DID pada usianya 17 tahun.
30 personaliti atau pertukaran ‘roh’ ini berusia antara enam tahun hingga 43 tahun, berbeza bahasa percakapan iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Korea, Bahasa Jerman selain Bahasa Melayu serta berbeza jantina wanita dan lelaki.
Bercakap soal makanan, agak mengejutkan apabila Belle yang sememangnya alah makanan kacang sejak kecil yang menyebabkan kulitnya gatal, bengkak dan kemerahan namun apabila bertukar ‘roh’ lain alahan itu hilang.
“Situasi aneh ini saya alami sejak usia 17 tahun ketika mula-mula berhadapan isu DID ini.
“Saya tak boleh makan kacang, gatal kulit, bengkak dan merah tetapi jika ada pertukaran ‘roh’ atau bahasa saintifiknya bertukar frekuensi, saya boleh makan kacang.
“Saya yang asal (Belle) tidak alah kucing namun ada personaliti lain yang alah kucing, tidak boleh dekat mesti bersin.
“Jika saya bertukar kepada personaliti nama Breanna, dia tak boleh makan sup ayam, jadi gatal, tapi saya (Belle) makan sup ayam ok, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Menerusi siri pertama Bongkar MEDIA VARIASI, masalah DID berpunca daripada trauma lebih teruk di masa lampau dan isu ini menemu bual gadis dikenali Belle, 23, yang memiliki 30 personaliti.
DID, masih baharu dalam masyarakat di negara ini, masalah yang sangat jarang ditemui berpunca daripada trauma masa lampau.
Belle bagaimanapun sanggup tampil di khalayak ramai melalui akaun Tiktok miliknya semata-mata untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai DID.
Tambah Belle pertukaran personaliti tidak boleh dipaksa atau pilihan sendiri, ia berlaku spontan.
Sehubungan itu, Belle menjelaskan sering berlaku polemik, percanggahan antara kehendak dirinya yang asal dan juga personaliti yang mengambil alih jasadnya.
Belle yang tidak memakai cermin mata berkata, apabila frekuensi Nathalia, Nae’em dan Delila ambil alih, dia terpaksa memakai cermin mata kerana mereka rabun.
“Namun anehnya setiap personaliti (frekuensi) itu memiliki tahap kuasa kanta lekap berbeza, Natalia yang paling rabun.
“Situasi ini paling aneh, jika jalani ujian kuasa kanta mata pasti hasilnya berbeza bagi setiap personaliti berkenaan,” katanya.
Tambahnya, jika personaliti bernama Billie iaitu kanak-kanak berusia enam tahun mengambil alih jasad Belle, semua barang yang dijual secara dalam talian pasti laris.
“Billie pandai berniaga, mulutnya petah, peramah, mudah didekati berbanding personaliti lain yang ada pemalu, ada yang tegas, ada yang serius dan sukar berinteraksi dengan masyarakat.
“Tetapi ada juga personaliti yang boros, tahu-tahu semua simpanan wang saya sudah habis dia berbelanja dan barang yang dibelinya saya tidak suka, ” katanya yang mengakui hilang kesedaran setiap kali pertukaran berlaku.
Mungkin jika Malaysia sudah bersedia untuk melakukan kajian lebih terperinci terhadap DID amat menarik kerana apabila frekuensi roh berubah, jasad turut mengikut sama yang beri kesan terhadap penyakit yang dialami seperti alahan dan rabun mata.
IKUTI SIRI KETIGA GADIS 30 PERSONALITI DI MEDIA VARIASI