HomeTeknologiKerajaan tawar Pakej Prabayar Internet Mudah Alih lebih murah

Kerajaan tawar Pakej Prabayar Internet Mudah Alih lebih murah

CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melancarkan Pakej Perpaduan iaitu Pakej Prabayar Internet Mudah Alih dengan penurunan harga kepada RM30 untuk enam bulan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pakej tersebut bertujuan mengurangkan kos sara hidup golongan sasar untuk memiliki utiliti asas yang diperlukan rakyat iaitu perkhidmatan internet.

Menurutnya, Pakej Perpaduan ini disasarkan untuk dinikmati golongan belia, B40, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis.

“Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar yang disediakan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

“Pakej Perpaduan dengan harga RM30 ini menawarkan peningkatan kelajuan internet mudah alih daripada 1 Mbps ke 3 Mbps dengan kuota dinaikkan daripada 20 GB untuk tiga bulan (90 hari) kepada 30 GB untuk tempoh lebih lama iaitu selama enam bulan (180 hari).

“Pengguna menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu daripada RM10 sebulan kepada RM5 sebulan. Pakej ini merupakan pakej asas yang disediakan dan terpulang kepada penyedia perkhidmatan untuk menawarkan nilai tambah ke atas pakej ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Fahmi juga yakin usaha yang dilaksanakan KKD dengan kerjasama strategik syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup sambil memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh.

Tegasnya, langkah penurunan harga ini jelas menunjukkan bahawa keperluan rakyat untuk menikmati perkhimatan telekomunikasi dengan harga lebih murah dan mampu milik diberi perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan.

“Inisiatif ini sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pengguna golongan belia, B40, OKU, warga emas serta veteran ATM dan polis untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti serta meningkatkan akses kepada kemudahan ini.

“Penyedia perkhidmatan akan membuat pengumuman lanjut mengenai Pakej Perpaduan kepada para pengguna dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Pakej Perpaduan dengan penurunan harga pakej telekomunikasi bagi langganan prabayar internet mudah alih berbanding pakej semasa di pasaran ini akan dapat dinikmati rakyat pada Februari 2023.

Author

Pilihan Editor