HomeTeknologiPelaksanaan tidak telus, Anwar arah projek rangkaian 5G disemak semula

Pelaksanaan tidak telus, Anwar arah projek rangkaian 5G disemak semula

CYBERJAYA: Kerajaan akan membuat semakan semula ke atas semua perjanjian berhubung dengan pelaksanaan projek rangkaian 5G di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengarahkan pelancaran rangkaian 5G itu disemak semula bagi memastikan pihak berkaitan mematuhi prosedur ketat.

“Saya telah mengarahkan perjanjian itu disemak semula kerana ia tidak dilakukan secara telus, tanpa tender sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pada Isnin.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai projek 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), dan sebelum ini beliau pernah menggesa supaya isu berkaitan pelaksanaan 5G oleh DNB dibahaskan di Dewan Rakyat.

Katanya, pelaksanaan itu perlu diperincikan bagi memastikan ketelusan dari segi kos dan syarikat pelaksana pembangunan infrastruktur itu tidak dipertikai nanti.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilaporkan berkata, pelantikan DNB bagi pelaksanaan teknologi internet 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan tanpa melalui perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terlebih dahulu.

Oktober lalu, Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz pula dilaporkan berkata, semua enam syarikat telekomunikasi utama negara telah menandatangani perjanjian penyediaan akses 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Enam syarikat telekomunikasi tersebut ialah Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications dan Telekom.

Author

Pilihan Editor