CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mata pelajaran Pendidikan Islam harus dikaji semula bagi memastikan wujud kefahaman tentang ilmu yang dipelajari para pelajar.
Katanya, perkara itu penting supaya tiada pihak yang sebarangan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan hujah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
Namun, Anwar memaklumkan segala ketetapan itu akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.
“Saya serahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai kurikulum mata pelajaran peradaban Islam melihat kepada cadangan dari sarjana-sarjana utama termasuk untuk dikaji semula supaya betul-betul memberi kefahaman lebih mendalam dengan mesej Islam, tentunya soal nilai, akhlak, kemanusiaan, universal jadi ini dirasakan ia perlu diberi perhatian.
“Buku ini sepatutnya menjadi autoriti merujuk kepada Quran, hadith, ulasan pemikir. Ini semua orang dalam tazkirah buat fatwa masing-masing. Bila tegur kata anti ulama. Tapi guru ugama itu buat kenyataan salah, itu mesti ditegur,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Himpunan Esei ‘Knowledge, Tradition and Civilization: Essays in Honour of Professor Osman Bakar’ di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Tambahnya lagi, perkara asas dalam mata pelajaran Pendidikan Islam turut dilihat mampu mengubah kefahaman umat Islam supaya tidak mudah percaya dengan sebarang hujah oleh mana-mana pihak meskipun tokoh parti politik mahupun para ulama’ yang ada.
“Kerana dia tokoh parti, ulama, semua kenyataan dia benar?
“Islam tidak pernah ajar begitu, sebab itu Pendidikan Islam ini harus memberi kefahaman lebih mendalam, kupasan mesti dihujah dan jika perlu teguran, pembetulan ini dikatakan tradisi ilmu pelajaran secara kritis,” ujarnya.