HomeHiburanNasyid tidak akan pupus - Al-Jawaher

Nasyid tidak akan pupus – Al-Jawaher

KOTA DAMANSARA: “Kembara berjalan bersendirian, Mencari jalan pulang, Bilakah masanya embunkan menjelma, Di tanah gersang yang membakar…”

Itulah antara bait lirik lagu kumpulan Al-Jawaher berjudul Kembara Di Tanah Gersang yang masih berkumandang khususnya sebelum azan di corong radio tempatan sejak 44 tahun lalu.

Menjelang Hari Raya pula, akan berkumandang Al-Jawaher yang berjudul Selamat Hari Raya dan Ku Pohon Restu Ayah Bonda dinyanyikan semula penyanyi Mamat Exist.

Al-Jawaher begitu dikenali dalam kalangan pencinta muzik kerohanian dengan sentuhan pop kontemporari.

Lagu-lagu kemanusiaan dan ketuhanan seperti Perjalanan dan Mohon Padanya Sujud Padanya juga cukup popular di corong radio.

Al-Jawaher sebenarnya wujud pada tahun 1979 oleh Ustaz Ahmad Karim, pada awalnya mereka adalah kumpulan mengaji dan berzanji terdiri daripada sembilan ahli.

Album pengenalan Al-Jawaher berjudul Permata diterbitkan pada tahun 1980 disusuli dengan album kedua mereka berjudul Perjalanan yang diterbitkan oleh Datuk M Nasir pada 1981.

Seterusnya album Warna Alam pada 1982, Berita Gembira pada tahun 1984 dan Alam Insan adalah album terakhir dirakamkan pada 1989 sebelum kumpulan itu ‘menyepi’.

Bagaimanapun mereka tidak pernah ‘hilang’ sentiasa memenuhi undangan bagi majlis seperti Maal Hijrah, Maulud Rasul, Hari Raya dan lain-lain yang dianjurkan.

Anggota kumpulan nasyid kontemporari Al-Jawaher

Anggota-anggotanya yang aktif adalah Norhaiyati Yusof selaku penyelaras kumpulan, Siti Hajar dan Normala (adik-adik M Nasir), Siti Rusminah iaitu ibu kepada penyanyi Didicazli dan Habibah yang kini menetap di Johor.

Norhaiyati ketika ditanya adakah nasyid akan pupus, berkata nasyid tidak akan pupus kerana manusia sentiasa mahu makanan rohani seperti nasihat, kekuatan dan peringatan.

“Manusia sentiasa mencari Tuhan, sentiasa ingat Tuhan, dalam keadaan sedih dan tawa, ketika jatuh dan bangun, ketika sakit dan sihat atau ketika bahagia atau kehilangan.

“Jadi selagi itu, nasyid ibarat makanan rohani yang mengingatkan manusia kepada Tuhan, yang memberi nasihat dan kekuatan melalui senikata lagunya.

“Jadi bagi saya nasyid tidak akan pernah mati, sentiasa wujud walaupun diberi nafas baharu dan mengikut trend,” katanya yang sudah bersama Al-Jawaher sejak 44 tahun lalu.

Tun Mohd Ali Mohd Rustam

Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Single ‘Bring Me Close To You’, lagu yang digubah Yazri Malik yang bakal didengar secara strim pada 17 Februari nanti.

Single terbaru Al-Jawaher ini merupakan initiatif secara tidak langsung dari Jamiyah Singapura bagi menyebarkan dakwah dan nasihat melalui seni muzik.

Ini merupakan kerjasama bersama Impact Music & Entertainment untuk ke persada pasaran antarabangsa.

Majlis dirasmikan oleh Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMD), Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan turut hadir, Presiden Jamiyah Singapura, Prof Adjunct Datuk Dr Mohd Hasbi.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi Marcom Jamiyah, Suhaimi Yusof berkata, menerusi DMDI, Al-Jahawer diharap dapat berkembang ke peringkat global.

“Dengan jaringan dunia Melayu Islam ini kita berharap Al-Jawaher dapat diperluaskan sehingga ke seluruh dunia dengan mengangkat bangsa Melayu di mata dunia,” katanya.

Author

Pilihan Editor