HomeTeknologiPenggunaan AI semakin bertambah, 14 juta pekerjaan bakal hilang

Penggunaan AI semakin bertambah, 14 juta pekerjaan bakal hilang

LONDON: Kemajuan teknologi kepintaran buatan (AI) yang semakin mendapat sambutan dijangka bakal memberi gangguan besar terhadap pasaran pekerjaan global dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perkara itu merujuk laporan hasil tinjauan melibatkan lebih 800 syarikat yang dibentangkan dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF), lapor CNN.

Forum tahunan yang menghimpunkan pemimpin global di Davos, Switzerland itu mendapati bahawa majikan dijangka mewujudkan 69 juta pekerjaan baharu menjelang 2027 dan menghapuskan 83 juta jawatan lain.

Jangkaan itu akan mengakibatkan kehilangan sebanyak 14 juta pekerjaan, bersamaan dua peratus pekerjaan semasa.

Malah, banyak faktor akan memberi impak kepada pergolakan pasaran buruh dalam tempoh berkenaan.

Peralihan kepada sistem tenaga boleh diperbaharui bakal menjadi ‘enjin’ berkuasa yang akan menjana peluang pekerjaan, namun pertumbuhan ekonomi perlahan dan kenaikan kadar inflasi pula akan akan mendorong kerugian.

Bagaimanapun, laporan sama menyatakan, pelaksanaan secara tergesa-gesa penggunaan AI akan memberikan kesan positif dan negatif.

Perihal ini kerana banyak syarikat diramal memerlukan pekerja baharu untuk membantunya melaksanakan dan menguruskan AI.

Menurut WEF, pengambilan penganalisis, saintis data, pakar pembelajaran mesin dan pakar keselamatan siber diramalkan meningkat secara purata sebanyak 30 peratus menjelang 2027.

Pada masa sama, pertambahan AI akan memberi impak kepada manusia kerana banyak pekerjaan diganti dengan penggunaan robot.

Author

Pilihan Editor