SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti lokasi sekolah remaja Orang Kelainan Upaya (OKU), yang didakwa menjadi mangsa buli seorang guru wanita baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan yang sedang dijalankan melibatkan banyak pihak untuk meneliti kes tersebut secara keseluruhan.
“Kita akan semak semula sama ada proses (siasatan) itu dilaksanakan mengikut proses kerja kita dan setakat ini dalam siasatan.
“Kita akan pastikan proses itu berlangsung dengan baik mengikut proses kerja,” katanya dalam satu sidang media di Pustaka Raja Tun Uda, di sini pada Selasa.
Terdahulu, Fadhlina melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Pada Isnin, seorang wanita menerusi laman X mendedahkan, adiknya yang berstatus OKU didakwa sering menjadi mangsa buli seorang guru wanita sehingga mengalami trauma.
Pendedahan itu dibuat selepas mendapati trauma adiknya yang berada di Tingkatan 2, dilihat semakin teruk dan tidak hadir ke sekolah pada tempoh lama.
Wanita itu mendakwa, guru terbabit memaksa adiknya untuk bersukan, meskipun remaja tersebut sudah memberi surat doktor menunjukkan dia tidak boleh berjemur atau terkena panas selepas melakukan pembedahan mata.
Akibat daripada itu, katanya, pihak sekolah meminta keluarga untuk menjemput pulang remaja tersebut, akibat matanya mengalami pendarahan pada setiap kali menjalankan aktiviti sukan.
“Selain itu, guru yang sama juga pernah sebarkan cerita bahawa adik aku malas solat kerana datang haid. Paling teruk, dia siap nak ugut buka kain adik aku,” katanya.
Pada masa sama, wanita itu turut mendakwa guru tersebut sering menengking dan memulaukan adik perempuannya hingga dia enggan lagi hadir ke sekolah.
Lebih teruk, katanya, tiada sebarang tindakan diambil meskipun bapanya sudah mengadakan pertemuan dengan pengetua sekolah tersebut.
Menurutnya, pihak sekolah sebaliknya menuduh adiknya mereka-reka cerita semata-mata untuk menutup kesalahan guru tersebut.
Malah, keluarga wanita itu juga sudah menemui pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), namun masih tidak jumpa sebarang jalan penyelesaian.
“Bila nak buat laporan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), adik aku tiada kemampuan nak ‘eja’ nama guru. Dia hanya ingat guru wanita, ajar Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani selain memakai kaca mata,” tambahnya.