HomeBeritaViralProton X90 terbakar bukan berpunca letupan bateri hibrid

Proton X90 terbakar bukan berpunca letupan bateri hibrid

SYARIKAT pengeluar kereta tempatan, Proton Holdings Bhd (Proton) menafikan Proton X90 yang terbakar seperti dipaparkan dalam video tular pada Rabu disebabkan letupan bateri hibrid ringan (48v) model berkenaan.

Proton melalui satu kenyataan medianya di laman Facebook berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung insiden terbabit dan kereta berkenaan sudah berada dalam simpanan syarikat itu.

“Pihak kami sedang menjalankan siasatan yang teliti dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca kejadian.

“Kami juga ingin menjelaskan bahawa tiada letupan yang disebabkan oleh bateri hibrid ringan Proton X90,” kata pengendali laman Facebook berkenaan pada Rabu.

Tambahnya lagi, Proton juga mengambil kira luahan serta memahami kebimbangan orang awam berhubung isu terbabit.

“Proton memohon kerjasama orang ramai untuk tidak terbabit dalam perbincangan spekulatif. Kami ingin memaklumkan bahawa siasatan masih diteruskan.

“Di Proton, kualiti dan keselamatan produk kami adalah keutamaan, dan kami ingin meyakinkan pengguna bahawa semua model Proton dibangunkan untuk memenuhi piawaian tertinggi.

“Setiap unit menjalani pemeriksaan kualiti dan keselamatan yang ketat sebelum dihantar kepada pelanggan,” kata syarikat itu.

Author

Pilihan Editor