PASIR PUTEH: Kementerian Pendidikan akan membuat penempatan membabitkan 9,500 guru baharu pada bulan depan sebagai mengatasi kekurangan guru di seluruh negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata proses temuduga guru baharu berkenaan sudah selesai dijalankan baru-baru ini.
“Masalah kekurangan guru adalah bersifat sementara bila ada persaraan dan ada dalam kalangan guru yang berhenti.
“Namun kita akan cepat-cepat ganti bagi mengelak berlaku kekosongan. Proses untuk mendapatkan guru baharu akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Insya-Allah menjelang November ini kita akan membuat penempatan membabitkan 9,500 guru baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani di Kolej Vokasional di Pasir Puteh, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, NUTP mendedahkan isu kekurangan guru yang sebelum ini dikaitkan dengan sekolah di pedalaman, sudah ‘menular’ ke institusi pendidikan itu di kawasan bandar.
Presidennya, Aminuddin Awang mendedahkan hampir semua sekolah di seluruh negara kini berdepan masalah kekurangan guru kerana tiada tenaga pengajar baharu ditempatkan bagi menggantikan mereka yang sudah bersara.
Beliau mendakwa, sekolah di seluruh negara mengalami kekurangan lebih 20,000 guru ketika ini dan perlu diselesaikan segera. – Berita Harian