HomeBeritaBudak 10 tahun mati lemas dalam kelong

Budak 10 tahun mati lemas dalam kelong

BATU PAHAT: Seolah-olah mimpi ngeri buat seorang bapa apabila melihat anak lelakinya maut ketika membawanya memancing di Kelong Wahid Panjang, Pantai Sungai Lurus di sini lewat petang semalam.

Kejadian itu menimpa Johan Ali, 55, yang yang tinggal di Parit Surau Darat, Parit Raja di sini membawa anaknya, Muhammad Adam Dani, 10, memancing ikan di kelong tersebut kira-kira pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, insiden disedari bapanya kira-kira pukul 5.30 petang ketika mahu bergerak balik sebelum mendapati anaknya tiada di dalam pondok kelong itu.

“Berikutan keadaan cuaca yang agak panas pada tengah hari bapanya menyuruh anaknya berteduh di sebuah pondok di tengah-tengah laluan kelong sejauh kira-kira 60 meter dari tempatnya memancing.

“Ketika mahu bergerak balik, bapanya mendapati anaknya tiada di tempat yang ditinggalkan sebelum berusaha mencari di beberapa tempat sekitar kelong itu,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Jumaat.

Tambah Ismail, bapanya yang khuatir anaknya jatuh ke dalam laut membuat laporan di Balai Polis Senggarang pada pukul 6.30 petang sebelum gerakkan mencari bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Rengit serta orang awam dilakukan.

Maklumnya lagi, mayat Muhammad Adam Dani ditemui terdampar oleh orang awam di tepi pantai kira-kira 200 meter dari tempatnya dilaporkan terjatuh kira-kira pukul 9.15 malam, sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Author

Pilihan Editor