HomeHiburanRamai belia usia 30-an dah tak 'fit' - Alif Satar ulas isu...

Ramai belia usia 30-an dah tak ‘fit’ – Alif Satar ulas isu PLKN

CYBERJAYA: Artis versatil, Alif Satar berpandangan ada baiknya belia berusia hingga 35 tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Menurut Alif yang pernah menjalani PLKN di usia 18 tahun, program itu dilihat bermanfaat memupuk semangat patriotik dalam kalangan belia.

“Saya lihat sekarang mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an, ramai yang tidak ‘fit’ (cergas).

“Namun, tidak perlu rasanya jadikan usia 35 tahun sertai PLKN sebagai isu kerana ia boleh menyebabkan program ini dipandang negatif.

“Dengan adanya PLKN, ia mampu membantu mereka menjalani hidup yang lebih sihat dan berdisiplin,” katanya memetik Berita Harian.

Malah, pelakon drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz itu turut mengakui PLKN adalah medan mengumpul ramai kenalan dari seluruh negara.

“Mereka yang baru habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hendak mengenal dunia, program ini amat sesuai untuk anda.

“Di situlah saya berjumpa ramai peserta dari pelbagai latar belakang yang akhirnya kekal menjadi sahabat hingga hari ini.

“Jika saya ke Sabah, misalnya, mereka ingat saya dan bagi buah tangan,” katanya.

Justeru, Alif menggalakkan individu berkelayakan supaya tidak melepaskan peluang menyertai PLKN.

“Apabila pendaftaran dibuka, tidak perlu fikir panjang… Daftar sahaja,” ujarnya.

Minggu ini, isu pelaksanaan PLKN 3.0 menjadi bualan ramai susulan ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu itu merangkumi individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.

Baca Disini: PLKN 3.0 ‘trending’ sebab netizen tak puas hati?

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, PLKN 3.0 akan dilaksanakan melalui dua Fasa.

Pada Fasa 1, membabitkan pelajar Tingkatan Empat menerusi silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Mohamad dilaporkan berkata, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalankan latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

 

Author

Pilihan Editor