HomeHiburanHidayah nafi sengaja tolak wang bayaran hutang Ali Puteh

Hidayah nafi sengaja tolak wang bayaran hutang Ali Puteh

KUALA LUMPUR: Peguam kepada balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali iaitu Mohamed Ibrahim Mohamad tampil membuat penjelasan berhubung keengganan anak guamnya menerima wang tunai berjumlah RM75,000 daripada pelawak Ali Puteh, semalam.

Ibrahim menerusi kenyataan dalam Instagram, Siti Norhidayah atau Hidayah enggan menerima wang berkenaan secara tunai atas faktor keselamatan.

“Hidayah hubungi saya memaklumkan mengenai bayaran itu.

“Dari segi undang-undang memang tiada masalah bayar secara tunai.

“Tapi, mengambil kira jumlah besar dan dibawa ke rumah, jadi saya minta wang dimasukkan ke bank sehingga keesokan hari,” kata Ibrahim.

Ibrahim pada masa sama menafikan dakwaan anak guamnya itu sengaja mahu menolak wang pemberian Ali sebagai bayaran tuntutan hutang.

“Hidayah tak berniat menolak, tetapi atas faktor keselamatan kami minta wang dibawa ke firma guaman atau dibuat pindahan secara dalam talian,” katanya.

Semalam, Ali hadir ke rumah Hidayah bagi melangsaikan tuntutan saman berjumlah RM75,000. Bagaimanapun, urusan itu masih belum selesai apabila Hidayah meminta Ali membuat pembayaran menerusi peguam.

Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu dalam Instagram, dua tahun lalu.

Akibatnya, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangan bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang bekas kakak iparnya.

Antara trofi dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.

Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ berwarna merah dan kereta Honda Accord berwarna putih miliknya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor