HomeBeritaGuna gambar Agong ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu, polis reman dua...

Guna gambar Agong ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu, polis reman dua individu

POLIS menahan reman dua individu selama tiga hari mulai Ahad bagi membantu siasatan kes penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong, disyaki dengan niat menghina pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, individu tersebut ditahan selepas didapati meletak gambar baginda di atas sebuah kenderaan, yang membawa sepanduk dan di belakangnya tertera bendera Pakatan Harapan (PH).

“Kenderaan itu diletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan gambar Perdana Menteri serta di belakangnya terdapat bendera PH.

“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Selain menahan dua suspek warga tempatan berusia 60-an itu, beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda berwarna hijau, yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Hasil semakan mendapati, salah seorang tangkapan itu mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 225 Kanun Keseksaan (tentangan atau galangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang atas seseorang yang lain).

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan pandangan dan arahan lanjut,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, polis menasihati parti politik supaya tidak memainkan isu sensitif dengan mengeluarkan, mempamerkan dan menyentuh isu 3R (raja, bangsa dan agama).

“Ini kerana ia akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam masyarakat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Sementara itu, kempen PRK Kuala Kubu Baharu berlangsung hingga Jumaat depan.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas, akibat kanser.

Author

Pilihan Editor