HomeHiburanZamani bedah tulang belakang November ini

Zamani bedah tulang belakang November ini

OLEH: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Kos pembedahan tulang belakang penyanyi, Zamani yang menderita penyakit skoliosis sejak 2015 dianggarkan mencecah RM100,000.

Beliau yang berusia 51 tahun memberitahu akan menjalani itu pada November ini yang dijangka mengambil masa antara lapan hingga 10 jam.

Vokalis kumpulan Slam itu berkata, dia akan membuat pemilihan antara dua hospital swasta untuk menjalani pembedahan itu

“Doktor memberitahu saya sudah boleh menjalani pembedahan pada Oktober ini. Cuma, saya terikat dengan beberapa komitmen kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Jadi, Insya-Allah mungkin awal November. Dari segi kos pembedahan dianggarkan melebihi RM100,000 di mana di mana ia dijangka mengambil masa antara lapan ke 10 jam manakala tempoh masa proses pemulihan pula bergantung kepada kondisi badan saya.

“Sekarang ini, saya hanya menghabiskan tawaran show yang sudah ditempah sehinga bulan Oktober ini dan saya tidak lagi menerima show baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media konsert amal Rhythm of Legends di Istana Budaya di sini hari ini.

Sementara itu, Zamani atau pemilik nama lengkap Zamani Ibrahim menambah, keadaan tulang belakangnya kini semakin membengkok sehingga menghimpit tulang rusuk kanan.

Jelasnya, selama ini dia hanya bergantung dengan ubat tahan sakit tetapi bimbang andainya tindakan tersebut akan menyebabkan dia tumbang pada bila-bila masa,

“Saya sudah mencuba banyak kaedah rawatan dan kalau ikutkan memang saya tidak mahu nak buat pembedahan.

“Namun sampai bila hendak bergantung dengan ubat. Sakit itu datang tidak tentu masa dan kebiasaannya ketika tidur malam,” ujarnya lagi.

Zamani Slam turut mengakui sebenarnya gusar untuk menjalani pembedahan bagi merawat penyakit tulang belakang melengkung itu.

Malah dia reda selepas melakukan ujian imbasan, doktor mengesahkan mempunyai harapan tinggi untuk sembuh namun tidak boleh kembali kepada normal,

“Saya dimaklumkan kesihatan untuk kembali pulih sepenuhnya mungkin tidak 100 peratus,” katanya.

Akhir bulan lalu, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi bertemu Zamani dan memaklumkan tentang penyerahan sumbangan orang ramai untuk kos pembedahannya.

Sehingga kini, Aznil sudah pun memindahkan sejumlah lebih RM120,000 ke dalam akaun Zamani hasil sumbangan orang ramai yang ikhlas membantunya.

Zamani juga memberitahu dia juga akan terbabit dengan Konsert Doa Buat Zamani di Zepp KL sebelum menjalani pembedahan.

“Konsert ini bertujuan menemukan saya dengan peminat dan ia diadakan agar peminat dapat mendoakan saya.

“Saya juga menjual tiket bagi mencari dana sampingan, tetapi apa yang penting niat mengadakan konsert untuk mendoakan saya.

“Tarikh belum ditetapkan, tetapi insya-Allah awal November. Saya cuba dapatkan Slam,” katanya.

Zamani sebelum ini mendedahkan, keadaan tulangnya yang membengkok sekarang mungkin bermula daripada kejadian jatuh terlentang akibat tergelincir di dalam bilik air satu ketika dahulu.

Penyakit tulang belakang melengkung atau skoliosis dihidapi Zamani semakin serius sejak 2015 sehingga keadaan tubuhnya yang membengkok tidak dapat disembunyikan lagi daripada peminat.

Author

Pilihan Editor