HomeTeknologiPenggunaan sistem internet satelit antara teknologi diteliti KKD untuk selesai masalah akses

Penggunaan sistem internet satelit antara teknologi diteliti KKD untuk selesai masalah akses

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi Digital (KKD) akan meneliti beberapa teknologi untuk menyelesaikan masalah akses dan rangkaian internet.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, penggunaan sistem internet satelit merupakan antara teknologi yang akan digunakan bagi menangani permasalahan berkaitan.

Menurutnya, penyelesaian masalah akses internet dan rangkaian internet ini akan diberi keutamaan khususnya pada tiga peratus golongan penduduk yang masih mengalaminya.

“Fokus kementerian adalah untuk menyelesaikan masalah akses internet, rangkaian internet terutama di kawasan berpenduduk tiga peratus yang terakhir, ‘the last three percent of populated areas‘.

“Ini merupakan tempat-tempat seperti kawasan pedalaman, kampung-kampung orang asli, yang dari segi mungkin jaringan fibernya bagi banyak syarikat, mungkin mereka merasakan kosnya tinggi.

“Jadi, kita akan teliti beberapa cara termasuk penggunaan sistem internet satelit, contohnya, dan beberapa teknologi yang lain untuk kita selesaikan,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian pada sidang media yang berlangsung pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Bangsar, hari ini.

Menurut beliau, isu berkenaan penting untuk dirinya kerana beliau mahu lebih ramai penduduk di kawasan-kawasan terbabit  melibatkan diri dalam ekonomi digital.

“Itu antara satu isu yang penting bagi saya, supaya lebih ramai rakyat Malaysia, untuk makluman tiga peratus ini, merangkumi lebih kurang 3,000 kawasan dan jumlah penduduknya mungkin dalam 50 orang sehingga lebih 100 orang, jadi ia bukanlah kawasan-kawasan yang ramai penduduk tetapi penting untuk kita libatkan dalam ekonomi digital.

“Jadi, saya lihat ini satu perkara yang akan diikhtiarkan, ada beberapa perkara lain contohnya masalah ‘network sharing’, kualiti dan mutu perkhidmatan. Ini adalah perkara yang selalu dibangkitkan semua pelanggan syarikat telekomunikasi.

“Dan ini saya telah arahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diteliti dan diselesaikan menjelang hujung suku kedua 2023 iaitu sebelum hujung bulan Jun,” ujarnya lagi.

Author

Pilihan Editor