HomeTeknologiKebocoran data peribadi, Malaysia duduki ranking pertama

Kebocoran data peribadi, Malaysia duduki ranking pertama

CYBERJAYA: Malaysia kini menduduki tangga pertama dalam kebocoran nombor telefon bimbit dengan lebih 21 juta orang atau 73 peratus didapati nombor telefon bimbit mereka dibocorkan atau dijual kepada sindiket penipuan atas talian.

Perkara itu merujuk Laporan Penipuan Tahunan Gogolook 2022 yang meneliti kebocoran data sulit dalam rantaian industri sindiket penipuan dalam talian di beberapa negara seperti Taiwan, Jepun, Thailand, Korea dan Malaysia.

Selain kebocoran nombor telefon, laporan sama turut menyatakan bahawa ada kebocoran maklumat sulit utama lain seperti kata laluan log masuk dan nama.

Malah, alamat, negara, tarikh lahir dan kebocoran e-mel turut berlaku.

“Bahayanya pencerobohan data peribadi untuk kata laluan log masuk boleh menyebabkan akaun perbankan dalam talian atau rangkaian media sosial dicuri.

“Apabila sindiket penipuan dalam talian mendapat akses kepada nama, nombor telefon dan rekod pembayaran serta beli-belah, mereka dengan mudah boleh memulakan serangan panggilan telefon dan mesej.

“Jika nama dan alamat dibocorkan, orang ramai mungkin akan menerima ‘bungkusan’ yang tidak diminta dengan pembayaran dibuat sewaktu penerimaan barangan,” kata laporan itu seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Whoscall, yang dikuasakan oleh Gogolook, aplikasi pengenalan identiti pemanggil yang dimuat turun sebanyak 100 juta kali di Asia Timur dan Asia Tenggara telah mengenal pasti lebih 405.4 juta panggilan telefon dan mesej penipuan sindiket dalam talian di seluruh dunia pada 2022.

“Laporan menunjukkan bahawa sindiket penipuan dalam talian ini mengutamakan mesej teks kerana kadar penembusan tinggi serta kos yang rendah menyumbang kepada 76 peratus sebagai ‘langkah pertama’ dalam kes penipuan.

“Penemuan data itu diperkukuhkan lagi dengan 95 peratus serangan penipuan di Jepun dan 80 peratus di Taiwan, Korea dan Malaysia menggunakan taktik mesej bukannya panggilan telefon,” maklum laporan berkenaan.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya peka dengan modus operandi sindiket penipuan dalam talian dari semasa ke semasa.

“Sebagai contoh, di Malaysia, jenis penipuan yang muncul ialah meminta untuk menerima kod pengesahan kata laluan sekali saja (OTP).

“Kadangkala, sukar untuk membezakan penipuan, tetapi dengan teknologi terkini, anda boleh memuat turun Whoscall sebagai barisan pertahanan pertama terhadap sindiket penipuan dalam talian kerana ia akan menyaring semua mesej dan panggilan masuk melalui pangkalan data proprietarinya dengan lebih 1.6 bilion entri nombor telefon dalam masa nyata secara global,” kata laporan itu

Author

Pilihan Editor