HomeBeritaViralSakan berbasikal di lebuh raya, dua 'cyclist' kena rempuh

Sakan berbasikal di lebuh raya, dua ‘cyclist’ kena rempuh

SEPANG: Kedegilan ‘geng cyclist‘ yang menunggang basikal di kawasan lebuh raya membawa padah selepas  dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.

Menerusi video tular, beberapa penunggang basikal pada mulanya dilihat secara berkumpulan di lebuh raya berhampiran Kota Warisan, di sini.

Namun, perbuatan mereka yang menunggang di lorong kiri lebuh raya itu menyebabkan dua daripadanya dilanggar seorang pemandu, yang dipercayai tidak perasan akan kelibat kumpulan tersebut.

Insiden itu dirakam menggunakan kamera perakam video atau ‘dashcam‘ kenderaan tersebut, manakala ia dipercayai berlaku pada 7 pagi Isnin sebelum tular sejak Selasa.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran pihaknya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang secara melulu dan boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000.

Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula membolehkan basikal disita jika didapati melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

 

Author

Pilihan Editor