HomeBeritaPolitik'Plot jatuhkan Ketua Menteri P.Pinang? Buktikan', kata Guan Eng

‘Plot jatuhkan Ketua Menteri P.Pinang? Buktikan’, kata Guan Eng

CYBERJAYA: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendesak Chow Kon Yeow untuk membuktikan dakwaan tentang kewujudan plot menjatuhkannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Guan Eng berkata, dakwaan itu sebaliknya hanya akan menghilangkan fokus Kon Yeow untuk mentadbir kerajaan negeri secara cekap, amanah dan telus.

“Chow perlu menoktahkan ura-ura ini yang dimulakannya sendiri. Beliau belum menunjukkan sebarang bukti ahli DAP cuba menjatuhkannya.

“Tiada bukti mana-mana pemimpin atau ahli parti terbabit berbuat demikian juga. Jika Chow mempunyai bukti, dia perlu hantar kepada Loke supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman dengan setegas mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga perlu tegas menafikan dakwaan bahawa tiada sebarang plot untuk menggantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

Pada Isnin, Loke tampil menafikan bahawa, timbul sebarang rancangan untuk menggantikan jawatan Kon Yeow ketika ini.

Dalam satu majlis pada Sabtu lalu, Kon Yeow menggesa segelintir pihak untuk menghentikan gerakan yang berniat untuk menjatuhkan kepimpinannya.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang itu mendakwa, terdapat pelbagai spekulasi mengenai pergerakan dikenali sebagai “倒曹” (dao cao – jatuhkan Chow) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai.

Author

Pilihan Editor