HomePendidikanUSM rasmikan pusat pembelajaran baharu di KL

USM rasmikan pusat pembelajaran baharu di KL

CYBERJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) kini membuka pusat pembelajaran baharu di Kuala Lumpur yang dikenali USM@KL.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, pembukaan USM@KL di tengah-tengah bandar metropolitan berupaya menarik lebih ramai penuntut khususnya dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

Katanya, suasana pembelajaran yang selesa dan dikelilingi kemudahan serba moden dapat memudahkan urusan harian sekali gus menjadi daya tarikan utama.

“Kadang-kadang tempat dan suasana itu menentukan pilihan pelajar-pelajar luar negara. Umpamanya kita ada program kejuruteraan yang bagus di Nibong Tebal.

“Kampus kejuruteraan kita cantik, tetapi tidak begitu menarik pelajar antarabangsa kerana ia dilihat terpencil dari bandar.

“Kadang-kala suasana tidak begitu menarik, sebab itu kebanyakan mereka memilih menetap di Pulau Pinang dan berulang alik ke Nibong Tebal untuk hadir ke kelas,” katanya memetik Harian Metro.

USM@KL diletakkan di bawah Institut Pengajian Siswazah (IPS) bagi merancakkan penawaran program ijazah tinggi yang berdaya saing dan bernilai tinggi di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Pusat ini menawarkan program ijazah tinggi peringkat Sarjana dan Kedoktoran bagi warga profesional yang bekerja khususnya di Lembah Klang.

Ketika ini, USM@KL mempunyai 463 pelajar ijazah tinggi dengan 54 peratus daripada mereka adalah penuntut antarabangsa dari China, Indonesia, Jepun, Singapura, Pakistan, Brunei, Ukraine dan lain-lain.

Author

Pilihan Editor