HomeGlobalBapa kecewa Angelina Jolie pertahan Palestin

Bapa kecewa Angelina Jolie pertahan Palestin

PELAKON veteran antarabangsa, Jon Voight mengecam tindakan anak perempuannya, Angelina Jolie yang lantang mengkritik serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Malah, Jolie yang juga aktres antarabangsa dilapor membuat gesaan kepada Israel untuk melaksanakan gencatan senjata di genting yang dikepung itu.

“Saya sangat kecewa kerana anak perempuan saya seperti kebanyakan orang tidak memahami kemuliaan Tuhan dan kebenaran Tuhan.

“Hal ini berkaitan memusnahkan sejarah tanah Tuhan, tanah suci. Tanah orang Yahudi. Ini adalah keadilan untuk anak-anak Tuhan di tanah suci. Tentera Israel mesti melindungi tanah dan rakyat.

“Ini adalah perang. Ia tidak seperti apa yang difikirkan golongan kiri dan tidak boleh menjadi perang sivil sekarang,” katanya seperti dilapor Middle East Monitor.

Pada masa sama, Voight turut cuba menafikan dakwaan bahawa kanak-kanak Palestin tidak bersalah dibunuh Israel.

“Israel diserang dan kamu yang b*d*h memanggil Israel sebagai masalah.

“Rakyat Palestin tidak diabaikan dari segi kewangan dan mereka telah diberi infusi wang yang banyak dan tidak dikongsikan dengan orang lain.

“Mereka mencipta senjata hanya untuk melepaskan kemarahan mereka,” katanya sambil menafikan dakwaan 65 peratus kadar kemiskinan di Gaza adalah berpunca daripada kawalan Israel terhadap ekonomi, import, eksport dan perikanan.

Sebelum ini, Jolie berkata, situasi yang berlaku di Israel adalah satu keganasan.

Namun, katanya, itu tidak bermakna nyawa tidak bersalah perlu menjadi korban atas serangan bom di Gaza.

Apatah lagi, penduduk Gaza tiada tempat untuk dituju, tiada akses kepada makanan atau air, tiada kemungkinan untuk melakukan perpindahan serta tiada hak asasi kemanusiaan untuk menyeberangi sempadan bagi mencari perlindungan.

Minggu lalu, Jolie mengecam keganasan rejim pengganas Israel yang menyerang kem pelarian Jabalia di Gaza pada akhir bulan lalu, hingga mengorbankan ratusan penduduk Palestin.

Menerusi laman Instagram, bintang Hollywood berusia 48 tahun itu menyiarkan mesej berserta foto yang memaparkan kediaman penduduk di Jabalia yang musnah sepenuhnya akibat dibedil pesawat rejim Zionis.

“Ini adalah pengeboman disengajakan terhadap penduduk yang terperangkap, yang tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri. Gaza telah menjadi penjara terbuka selama hampir dua dekad dan kini tempat pengebumian beramai-ramai.”

“40 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak yang tidak bersalah. Seluruh anggota keluarga dibunuh. Ketika dunia sedang memerhati dan dengan sokongan aktif pelbagai kerajaan, berjuta-juta rakyat Palestin – kanak-kanak, wanita, keluarga – tidak dibela dan dihina, sebaliknya dihukum dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” tulisnya.

Setakat ini, lebih 10,022 rakyat Palestin terkorban termasuk lebih 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita, manakala lebih 25,408 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

 

 

Author

Pilihan Editor