HomeSukanKerana mulut 'Mickey' digantung

Kerana mulut ‘Mickey’ digantung

 

KUALA LUMPUR: Khabar mengejutkan arena bola sepak negara apabila seorang pemain terkenal Liga Super digantung perlawanan dipercayai kerana melakukan kesalahan pada perlawanan sebelum ini.

Walaupun ketika ini tiada pengesahan daripada pihak berkaitan termasuklah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun menurut sumber pemain malang itu adalah tonggak Selangor FC, Faisal Halim.

Sumber berkata, Faisal atau turut dikenali sebagai ‘Mickey’ kemungkinan akan digantung selama sebulan atau lebih sekali gus memberi tamparan kepada Selangor yang ketika ini dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.

“Betul Faisal dikenakan tindakan penggantungan namun jumlah hukuman itu akan diumumkan oleh FAM dalam tempoh terdekat ini.

“Apa yang boleh saya katakan, Faisal dikenakan hukuman bukanlah disebabkan dia mengasari pengadil cuma pada perlawanan menentang Sabah FC pada 28 April lalu, pemain terbabit mengeluarkan kenyataan tertentu.

“Kenyataan itu dikatakan mencetuskan isu sensitif menyebabkan dia dikenakan hukuman terbabit,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, sebelum ini, Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya meluahkan kekecewaannya mengenai ketika ditemu bual oleh media selepas pasukannya mencatatkan kekalahan ke 2-1 di tangan Sabah FC di Stadium Likas pada April lalu.

Faisal meluahkan rasa tidak puas hati dengan menganggap bahawa perlawanan itu tidak adil terhadap pasukannya.

Katanya, ada pihak yang tidak senang hati dan ingin menjatuhkan Selangor, tetapi menganggap itu sebahagian daripada bola sepak.

Author

Pilihan Editor