HomeBeritaMahkamah & JenayahRakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib Razak mungkin minta hakim tarik diri

Rakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib Razak mungkin minta hakim tarik diri

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak kini menimbang kemungkinan memohon hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu di awal perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi pagi ini, lapor Berita Harian.

Perkara itu berikutan pendedahan Sequerah semalam bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, pernah menjadi rakan kongsi di firma guaman sama sebelum ini.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya mendapat arahan daripada anak guam untuk mengemukakan permohonan itu, bagaimanapun memerlukan masa untuk meneliti dan menimbangkan sama ada perlu berbuat demikian.

Menurutnya, sebanyak 656 kali nama dan peranan Jasmine disebut oleh beberapa saksi penting dalam perbicaraan itu, tidak termasuk dalam pernyataan saksi.

“Sama ada Jasmine dipanggil sebagai saksi atau tidak, ini membawa kepada kemungkinan Yang Arif perlu menarik diri daripada mendengar kes ini,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu membabitkan isu yang kompleks dan ia akan diuruskan apabila perbicaraan seterusnya bersambung pada 14 Ogos ini.

Sequerah semalam berkata, beliau perlu mendedahkan bahawa Jasmine pernah menjadi rakan kongsi (di firma Zain & Co), ketika beliau menjadi peguam 10 hingga 15 tahun lalu.

Isu itu dibangkitkan apabila Muhammad Shafee ingin mendapat pengesahan sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai pendakwaan.

Pada 7 Julai lalu, Jasmine yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low ditahan polis bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana 1MDB.

Author

Pilihan Editor