HomeBeritaBomba pindahkan mangsa banjir di 2 kampung di Sik

Bomba pindahkan mangsa banjir di 2 kampung di Sik

SIK: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik membantu memindahkan mangsa dari Kampung Lubuk Tualang dan Kampung Bendang Temiat, di sini yang terjejas akibat banjir.

Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhiari Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir pada jam 6.44 petang semalam.

“Sepasukan anggota dari BBP Sik bergegas ke lokasi untuk membantu memindahkan mangsa dari beberapa kampung yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku.

“Setibanya di lokasi, didapati laluan di kawasan terjejas banjir ditenggelami air dan jalan terputus, memaksa Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mengharungi air untuk menyelamatkan mangsa terperangkap akibat banjir,” katanya.

Tambah Zulkhiari, kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan di Kampung Lubuk Tualang membabitkan enam orang termasuk dua lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

“Operasi memindahkan lima mangsa di Kampung Bendang Temiat turut dilakukan, membabitkan seorang wanita warga emas, seorang wanita, dua remaja dan seorang bayi berusia tiga bulan.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, dua buah kenderaan pacuan empat roda daripada badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia turut membantu dalam operasi berkenaan,” katanya.

Menurut Zulkhiari lagi, kesemua mangsa berjaya dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Islam Kampung Tanjung Belit, yang dibuka sejak malam tadi.

Beliau berkata, limpahan air sungai disebabkan oleh taburan hujan yang tinggi, menyebabkan air dari bahagian atas, Belantik, turun ke Chepir dan Lubuk Tualang, seterusnya ke Bandar Hilir.

“Setakat ini paras air mulai surut dan hujan sudah berhenti,” katanya. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor