HomeSukan'Tipu! Tipu! Tipu lagi!'

‘Tipu! Tipu! Tipu lagi!’

CRISTIANO Ronaldo berang apabila penganjur Ballon d’Or melakukan pembohongan dan membandingkan dirinya dan Lionel Messi berhubung anugerah berprestij itu, lapor Mirror.

Sebelum ini, Pascal Ferre mendakwa bahawa satu-satunya impian Ronaldo ketika menamatkan kariernya adalah memiliki lebih banyak Ballon d’Or untuk mengalahkan Messi.

“Ronaldo hanya ada satu cita-cita iaitu bersara dengan lebih banyak Ballon d’Or berbanding Messi. Saya tahu kerana dia yang memberitahu saya,” katanya yang juga ketua pengarang majalah France Football.

Ferre didakwa berbohong mengenai Ronaldo untuk menaikkan namanya. -Foto: Agensi

Tidak hanya berdiam diri, bekas bintang Manchester United itu menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa Ferre melakukan pembohongan.

“Pascal Ferre berbohong. Dia menggunakan nama saya untuk menaikkan namanya dan syarikat penerbitan tempat dia bekerja.

“Tak boleh diterima bahawa individu yang bertanggungjawab untuk memberi hadiah berprestij itu boleh berbohong dengan cara ini dan tidak menghormati orang lain yang sentiasa menghormati Perancis, bola sepak dan Ballon d’Or.

“Dan sekali lagi dia berbohong hari ini dengan mendakwa, ketidakhadiran saya pada majlis anugerah itu adalah berpunca saya dikuarantin,” tulisnya di laman Instagram.

Pada masa sama, pemain berusia 38 tahun itu menegaskan bahawa dia sentiasa memperjuangkan semangat kesukanan.

“Saya sentiasa ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang, demi semangat kesukanan dan permainan adil yang telah membimbing kerjaya saya sejak dari awal. Saya melakukannya kerana saya tidak pernah bersaing dengan sesiapa.

“Saya sentiasa menang untuk diri saya sendiri dan untuk kelab yang saya wakili. Saya menang untuk diri saya sendiri dan untuk mereka yang menyayangi saya. Saya tidak menang bersaing dengan sesiapa pun.

“Cita-cita terbesar dalam karier saya adalah memenangi kejuaraan kebangsaan dan antarabangsa untuk kelab yang saya wakili dan untuk pasukan kebangsaan di negara saya,” tambahnya.

Ronaldo yang ketika ini menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr kekal merangkul lima anugerah Ballon d’Or.

Messi dijangka merangkul Ballon d’Or kali kelapan pada 30 Oktober depan. -Foto: Getty Images

Ini sekali gus menyaksikan pemain itu ketinggalan jauh di belakang pesaing utamanya pada 30 Oktober depan, apabila Messi bakal merangkul gelaran itu buat kali kelapan.

Awal minggu ini, laporan media mendakwa bahawa, bintang Inter Miami itu dijangka memenangi Ballon d’Or bagi tahun 2023, berikutan kejayaannya di Piala Dunia bersama Argentina.

Kali terakhir Messi, 36, merangkul anugerah bola emas ikonik itu adalah pada dua tahun lalu, menewaskan penyerang Poland, Robert Lewandowski.

Author

Pilihan Editor