HomeGlobalBeli salad dapat sekali 'jari manusia', wanita tuntut ganti rugi

Beli salad dapat sekali ‘jari manusia’, wanita tuntut ganti rugi

MENAKUTKAN! Itulah yang dialami seorang wanita apabila sedang enak mengunyah salad yang dibelinya tetapi terpaksa berhenti makan apabila mulai sedar terdapat cebisan jari manusia dalam campuran salad itu.

Lapor CBS News, Allison Cozzi dari Greenwich memfailkan saman atas dakwaan hidangan yang dibelinya di rantaian Chopt di Mount Kisco, New York pada 7 April lalu, ‘tercemar’.

Laporan sama turut mendakwa bahawa cebisan jari itu adalah kepunyaan pengurus restoran.

“Pengurus restoran itu terpotong jari telunjuknya secara tidak sengaja ketika mencincang arugula.

“Individu itu kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital, namun arugula sudah tercemar itu tetap dijual kepada pelanggan termasuk Cozzi,” jelas kandungan surat saman itu.

Malah, Cozzi turut menyatakan bahawa dia mengalami kesan trauma seperti serangan panik, migrain, gangguan kognitif, loya, pening, sakit leher dan bahu akibat memakan salad yang tercemar.

Lantaran itu, Cozzi menuntut sejumlah ganti rugi yang tidak dinyatakan.

Sementara itu, rekod Jabatan Kesihatan Daerah Westchester menunjukkan Chopt telah didenda sebanyak AS$900 (RM4,187).

Difahamkan, Chopt Creative Salad Co mempunyai lebih 70 cawangan di seluruh timur AS.

Author

Pilihan Editor