HomeBeritaPolitik4 tahun 8 bulan Ramlan Askolani tak pernah cuti

4 tahun 8 bulan Ramlan Askolani tak pernah cuti

KUALA LUMPUR: Penyandang Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani tidak pernah kenal erti rehat sejak empat tahun lapan bulan mengambil alih bahagian berkenaan.

Pejabat UMNO Bahagian Lembah Pantai tidak pernah ditutup dalam tempoh itu dan setiap hari membuka pintu untuk rakyat membuat aduan, memohon bantuan.

Ramlan Askolani berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) berhadapan kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, namun UMNO Lembah Pantai tidak pernah sepi daripada terus berbakti kepada penduduk di daerah ini.

“Saya tak pernah cuti sejak empat tahun lapan bulan ambil alih sebagai Ketua Bahagian, kerana ini adalah amanah parti untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Ketika ambil alih BN kalah, COVID-19 melanda dan akaun bank bahagian kosong tak tinggal apa-apa pun, tiada sebarang peruntukan.

“Tetapi saya bantu juga rakyat walaupun guna duit sendiri, minta tajaan dengan MAIWP, syarikat swasta, yayasan, badan korporat dan usaha cari dana untuk pastikan program kemasyarakatan dan kebajikan tak terjejas,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pada awalnya, Ramlan menyangka selepas PRU15 pada November lalu beliau bolehlah rehat tetapi ada pula pemilihan UMNO, walaupun BN kalah namun orang tetap datang ke pejabat minta bantuan.

“Saya serahkan kepada perwakilan untuk menilai tetapi jika tanya mengenai tanggungjawab, saya sudah jalankan sehabis baik dan tidak pernah abaikan rakyat Lembah Pantai daripada aspek bantuan bumbung, masalah dewan, masalah tempat letak kereta, keperluan asas dan sebagainya, nilailah terhadap kerja saya,” katanya.

Timbalan Ketua Bahagian Lembah Pantai, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz yang juga bekas Setiausaha Bahagian Lembah Pantai adalah pencabar terdekat Ramlan pada pemilihan UMNO.

UMNO pertama kali menangguhkan pemilihannya yang sepatutnya diadakan pada 2021 sehingga tempoh 18 bulan, berakhir Disember 2022.

Namun pada akhir tahun lalu, UMNO meminda Fasal 10.16 perlembagaannya dan membenarkan penangguhan sekali lagi pemilihan iaitu enam bulan selepas pilihan raya peringkat Dewan Rakyat.

Tarikh akhir pemilihan UMNO terkini adalah pada 19 Mei 2023.

Author

Pilihan Editor