HomeBeritaMahkamah & JenayahSuami isteri pembantu kedai hidup mewah dicekup bersama 8.5 kg syabu

Suami isteri pembantu kedai hidup mewah dicekup bersama 8.5 kg syabu

JITRA: Gaya hidup mewah sepasang suami isteri yang juga pembantu kedai makan terbongkar apabila mereka diberkas polis dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin, polis menahan suspek lelaki berusia 28 tahun itu dalam serbuan di sebuah rumah di Changlun dekat sini pada 18 Oktober lepas.

“Hasil serbuan ke atas suspek menemukan lapan bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat 8.5 kilogram (kg) bernilai RM297,500 dalam beg galasnya.

“Hasil soal siasat polis menahan isteri kepada suspek di sebuah kedai makan di Changlun untuk membantu siasatan. Lelaki berkenaan dan isterinya yang berusia 20 tahun itu dipercayai terlibat dengan aktiviti ini sejak setahun lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Beliau menambah, hasil ujian saringan urin kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu juga positif Methamphetamine.

“Lelaki berkenaan juga mempunyai tiga rekod jenayah sementara isterinya bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah. Syabu seberat 8.5 kg ini jika terlepas boleh digunakan seramai 18,000 penagih.

“Hasil tangkapan itu polis turut menyita sebuah kereta Honda Civic bernilai RM150,000 dan barang kemas, RM2,214. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM449,714,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman sehingga 25 Oktober ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor