[VIDEO] Persatuan renang, jurulatih, atlet perlu perbaiki komunikasi dalaman – Hannah

0
43

Para atlet, jurulatih dan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) digesa untuk memperbaiki hubungan komunikasi dalaman, kata Hannah Yeoh.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian susulan isu dakwaan kemelut dalaman, sehingga menyebabkan skuad terjun negara beraksi hambar pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

Hannah berkata, pihaknya sudah pun mengadakan pertemuan dengan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri baru-baru ini dan berpuas hati dengan penjelasan kedua-duanya berhubung isu berkenaan.

Beliau turut menafikan wujudnya ‘entiti’ dalaman atau campur tangan pihak ketiga sehingga mengganggu prestasi skuad terjun negara.

“Cuma saya rasa jawapan yang diberikan kepada media dan cara laporan media telah mewujudkan salah faham dalam headline (tajuk berita). Saya rasa puas hati dengan penjelasan Pandelela.

“Dalam beberapa hari ini, saya nak bertemu dengan jurulatih dan persatuan renang untuk mendengar penjelasan mereka.

“Ini bukan masalah campur tangan entiti, tapi saya rasa mereka perlu perbaiki komunikasi dalaman. Kita cari jalan perbaiki,” katanya.

Jelasnya, meskipun Pandelela dan Nur Dhabitah tidak dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, kedua-duanya mash berada dalam program podium dan tidak berputus asa mewakili negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Lompat Tinggi ‘Leap To The Stars’ 2024, di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, pada Sabtu.

Author